Buktikan mahu bantu, lepaskan pelarian, kerajaan digesa

Buktikan mahu bantu, lepaskan pelarian, kerajaan digesa

Kerajaan wajar membebaskan mereka yang berada di pusat tahanan bagi menunjukkan ia serius mahu bekerjasama dengan UNHCR, kata aktivis.

Seorang bekas Ahli Parlimen mencadangkan supaya pelarian dan pencari suaka diserapkan dalam tenaga kerja selepas diberikan dokumen pengenalan diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak asasi migran menggesa kerajaan agar membebaskan pelarian dan pencari suaka di pusat tahanan sebagai bukti ia serius mahu membantu golongan itu.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, beliau mengalu-alukan laporan bahawa Putrajaya mempertimbangkan perjanjian dengan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNHCR, berhubung peranan dan tanggungjawabnya.

“Jika Malaysia mahu menunjukkan ia serius dan ikhlas mahu menolong pelarian, kita mesti pertama sekali memastikan semua pemohon suaka dan pelarian di pusat tahanan dibebaskan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, pembebasan itu akan menunjukkan sikap muhibah kerajaan mahu menguruskan keadaan itu dengan lebih baik.

Pereira berkata, kerajaan juga wajar meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan meluluskan undang-undang berkaitan pelarian, supaya rangka kerja perundangan sewajarnya dapat dilaksanakan bagi memudahkan hubungan kerja bersama UNHCR.

“Ada prasyarat tertentu kerajaan mesti penuhi bagi membuktikan ia benar-benar serius mengenai perkara ini,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beban menguruskan pelarian dan pemohon suaka tidak patut diletakkan terhadap kerajaan atau masyarakat setempat, sebaliknya UNHCR.

Cadangan sebelum ini diutarakan supaya pejabat UNHCR di Malaysia ditutup bagi membolehkan Putrajaya menguruskan pelarian di negara ini dengan lebih baik tanpa campur tangan luar. Seorang menteri kemudian berkata kerajaan dalam proses mengambil alih pengurusan pelarian.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata UNHCR dapat membantu pelarian dengan menyediakan kertas pengenalan diri, seterusnya mereka dapat diserapkan ke dalam tenaga kerja.

“Ramai daripada mereka mempunyai begitu banyak pengalaman kerja. Kenapa tidak gunakan sumber ini?

“Saya fikir ada sumber manusia yang dapat digunakan dengan berkesan,” katanya.

Seramai 185,760 pelarian dan pemohon suaka didaftarkan dengan UNHCR pada masa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.