Anggota APM maut dipatuk tedung selar

Anggota APM maut dipatuk tedung selar

Mohd Idris Abdul Samad meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Anggota APM Mohd Idris Abdul Samad dipatuk ular tedung selar ketika memindahkan haiwan itu dari guni ke dalam sangkar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia selepas dua hari dimasukkan ke hospital akibat dipatuk ular tedung selar.

Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab, berkata Mohd Idris Abdul Samad, 34, disahkan meninggal pagi tadi selepas dua hari dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Katanya, dalam kejadian pada pagi Ahad, Idris yang bertugas di APM Tunjong hendak mengalihkan seekor ular tedung selar yang ditangkap di sebuah rumah ke dalam sangkar.

“Bagaimanapun, ketika memindahkan ular itu dari guni ke dalam sangkar berlaku insiden di luar jangka apabila celah ibu jari kanan Idris dipatuk haiwan berbisa itu. Ketika kejadian Idris memakai sarung tangan,” katanya menurut Berita Harian.

Adzhar berkata, sepanjang dirawat di HUSM Idris dilaporkan stabil tetapi keadaannya tiba-tiba merosot pagi ini sebelum dimaklumkan beliau meninggal dunia.

Katanya, Idris berkhidmat sebagai anggota APM selama 15 tahun dan pernah dipatuk ular beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan jari tengah tangan kanannya terpaksa dipotong.

“Idris seorang yang terlatih mengendalikan haiwan berbisa selain pernah mengikuti beberapa kursus. Beliau juga seorang yang sangat komited dengan kerja walaupun ada kalanya berdepan bahaya yang boleh merisikokan nyawa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.