Penternak syak 20 lembu hilang angkara ‘pak belang’

Penternak syak 20 lembu hilang angkara ‘pak belang’

Penternak mendakwa menemui tapak kaki harimau berhampiran bangkai anak lembu, semalam.

Seorang penternak lembu di Ladang Perlop, Sungai Siput, memohon Perhilitan Perak segera mengambil tindakan menangani ancaman harimau belang.
PETALING JAYA:
Seorang penternak mendakwa lebih 20 lembu miliknya di Ladang Perlop, Lasah, Sungai Siput, Perak, dibaham harimau belang.

Mohd Hazwan Ramli, 35, berkata dia menyedari kejadian itu selepas menemui tapak kaki haiwan berkenaan berhampiran bangkai anak lembu pada 8.30 pagi, semalam.

“Sejak bulan puasa lagi banyak lembu yang hilang, lebih 20 ekor termasuk semalam. Sebelum ini, saya hanya jumpa tulang sahaja tetapi semalam bangkai anak lembu separuh badan.

“Memang sejak awal lagi saya syak harimau sebab nampak kesan tapak kaki haiwan liar itu. Saya yakin kehilangan semua ternakan tersebut angkara ‘pak belang’,” katanya menurut Kosmo.

Hazwan berkata, dia menanggung kerugian lebih RM50,000, selain diselubungi kebimbangan diserang haiwan itu ketika menguruskan ternakannya di kandang.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, dia tidak pernah terserempak mahupun mendengar bunyi ngauman haiwan itu.

“Saya yakin harimau itu masih berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit ini. Malah sejak kejadian itu, banyak lembu tidak berada di kandang sebaliknya ‘lari’ ke kampung Orang Asli berhampiran.

“Saya pernah juga buat rondaan, tetapi tidak pernah pula terserempak,” katanya yang mempunyai lebih 100 haiwan ternakan termasuk lembu, kambing dan kerbau.

Katanya, laporan dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dan berharap tindakan segera diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.