Lynas mahu semakan undang-undang selepas dibenar lanjut operasi 6 bulan

Lynas mahu semakan undang-undang selepas dibenar lanjut operasi 6 bulan

Langkah itu susulan pengumuman perdana menteri Lynas diberi tempoh hingga 1 Jan 2024 untuk memenuhi syarat dilampirkan pada lesen operasinya.

Fasiliti Lynas di Gebeng, Pahang, menyumbang separuh daripada bekalan nadir bumi dunia di luar China.
PETALING JAYA:
Syarikat pengeluar nadir bumi Lynas akan menuntut semakan undang-undang berhubung syarat pelesenannya di Malaysia selepas ia diberikan lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat dilampirkan pada lesen operasinya.

Syarikat itu berkata, Malaysia menawarkan saluran undang-undang untuk menyemak syarat pelesenan, yang akan digunakan sewajarnya.

“Lynas membuat pelaburan yang besar dalam fasilitinya di Malaysia, dan akan mendapatkan semakan melalui proses ini berkenaan syarat (yang disertakan) agar Lynas dilayan secara adil dan saksama sebagai pelabur langsung asing, serta sebagai majikan dan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Lynas berkata, lanjutan itu akan membolehkan loji retak dan larut lesapnya di Gebeng, Kuantan, meneruskan operasi sehingga 1 Jan tahun depan, serta memansuhkan syarat untuk menutup loji sebelum tarikh itu.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Lynas Malaysia diberikan lanjutan mengikut syarat yang mesti dipatuhi dengan ketat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang sebelum ini berkata, Lynas diberikan lanjutan “beberapa bulan” berikutan rayuan syarikat itu terhadap empat syarat yang dikenakan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.

Chang dijangka mendedahkan butiran lanjut mengenai lanjutan itu hari ini.

Kementerian itu mengadakan tribunal tertutup pada 28 April bagi membincangkan rayuan Lynas untuk memansuhkan empat syarat diperkenalkan pada Mac 2020, melarang import dan pemprosesan unsur nadir bumi.

Syarat utamanya adalah Lynas mesti memindahkan kegiatan retak dan larut lesap lantanida pekat ke tapak di luar Malaysia, dan hanya menapis bahan perantaraan di fasilitinya di Gebeng menjelang 1 Julai.

Permohonan untuk menghapuskan empat syarat itu ditolak oleh lembaga pelesenan, membawa kepada rayuan pada 28 April, yang dilihat sebagai percubaan terakhir untuk memastikan syarikat itu dapat meneruskan operasinya di Gebeng.

Fasiliti Lynas di Malaysia itu menyumbang separuh daripada bekalan nadir bumi dunia di luar China. Syarikat itu berkata, ia akan menutup sementara kilangnya pada pertengahan Julai jika syarat pelesenan kekal tidak berubah.

Kumpulan alam sekitar menzahirkan kebimbangan tentang risiko terhadap alam sekitar dan kesihatan yang berkaitan dengan proses penapisan, terutama potensi pelepasan radiasi.

Bagaimanapun, Lynas berpendirian kegiatan sebegitu tidak mempunyai kesan ke atas tahap sinaran biasa yang terdapat di sekitar Gebeng.

Bahan nadir bumi digunakan untuk membuat peralatan elektronik, bateri, magnet super dan peralatan canggih lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.