Lesen 10 tahun: JPJ ada kaedah kesan pesalah trafik, kata Loke

Lesen 10 tahun: JPJ ada kaedah kesan pesalah trafik, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata tidak semestinya apabila lesen diperbaharui selama 10 tahun, pemilik tidak perlu bayar saman atau terlepas tindakan JPJ jika melakukan kesalahan.

Loke Siew Fook berkata Jabatan Pengangkutan Jalan mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani masalah membabitkan kesalahan jalan raya.
PETALING JAYA:
Walaupun tempoh perbaharui lesen memandu kini dilanjutkan hingga 10 tahun, pemilik yang melakukan kesalahan jalan raya tetap tidak akan terlepas dikenakan tindakan jika melakukan kesalahan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kaedah dan sistem yang mampu mengesan pesalah termasuk tindakan drastik seperti penggantungan lesen atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu.

Katanya, kerajaan memulakan dasar baharu membenarkan pemegang lesen memandu Malaysia (LMM) untuk semua kategori mendapat diskaun 10% jika memperbaharui lesen bagi tempoh 10 tahun di mana tahun ke-10 diberikan secara percuma bagi kemudahan orang ramai.

“Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu merupakan dasar baharu yang kita perkenalkan untuk memudahkan orang ramai. Saya banyak mendapat maklum balas dan permintaan orang ramai melalui media sosial untuk memanjangkan tempoh untuk memperbaharui lesen memandu mereka.

“Walaupun ada pihak dakwa dengan cara ini orang tak bayar saman dan sebagainya, kita (JPJ) ada cara lain, cara digital. Tidak bermaksud lesen tak perlu perbaharui 10 tahun akan terlepas dari sistem kita. Kita ada cara tersendiri menangani isu penguat kuasa,” katanya menurut Kosmo.

Beliau berkata ketika mengadakan lawatan ke JPJ Seremban.

Pada lawatan itu Loke mengambil peluang pelaksanaan inisiatif hari pertama pembaharuan lesen hingga tempoh 10 tahun dengan memperbaharui lesennya mengikut tempoh berkenaan yang sudah pun tamat tempoh sejak 10 hari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.