
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin, berkata dalam serbuan itu pihaknya menemui ribuan kasut diimport dari luar negara, disimpan dalam stor rumah kedai yang disewa sindiket sebelum dijual melalui media sosial.
Katanya, operasi dijalankan pada 1 tengah hari tadi hasil risikan pihaknya sejak sebulan lalu serta aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan.
“Ketika serbuan, anggota penguatkuasa terpaksa memecahkan pintu di tingkat atas premis berkenaan yang dijaga seorang lelaki berusia 31 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 4,000 kasut tiruan pelbagai jenama bernilai lebih RM800,000 yang didapati melanggar peruntukan Akta Cap Dagangan 2019. Lelaki tempatan itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Khairi berkata, serbuan itu melibatkan nilai rampasan kedua terbesar tahun ini.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu barang cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, semua kasut itu dipercayai dijual dengan harga antara RM180 hingga RM400 sepasang di seluruh negara.