
Beliau berkata, ini kerana kerajaan sedia ada bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya adalah kerajaan perpaduan.
“Kita masih menunggu cadangan daripada mereka, tapi mereka (pembangkang) kata tidak perlu (kemukakan) cadangan (pula).
“(Mereka) kena ingat bahawa ini bukan kerajaan PH, ini adalah kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2), menurut Berita Harian.
Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan rundingan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan secara dasar sedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.
Rundingan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang itu sedang dilakukan Fadillah.
Fadillah pula dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan bawah pimpinan Anwar, tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Beliau yang ditugaskan berunding bersama wakil pembangkang berhubung isu itu, dilaporkan berkata, kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan berkenaan seperti dilakukan ketika pentadbiran kerajaan diketuai Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, cadangan itu adalah perlu untuk menentukan kerjasama dalam memastikan kestabilan politik negara.
“Jadi kita perlu minta mereka kemukakan cadangan, bagaimana dengan peruntukan itu kita boleh jalin kerjasama ke arah memastikan negara kita lebih stabil dari segi politik. Itu yang kita nak,” katanya.