‘Jeneral semua dah keluar’, pemimpin PAS percaya BN hanya ada jentera kecil

‘Jeneral semua dah keluar’, pemimpin PAS percaya BN hanya ada jentera kecil

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Sanusi Md Nor, berkata jentera-jentera kecil BN tunggu masa untuk hanyut.

Sanusi Md Nor ketika berucap mendakwa ‘jeneral-jeneral’ BN “sudah keluar” dan gabungan itu tidak mempunyai jentera besar.
PETALING JAYA:
Menjelang PRN yang bakal diadakan di enam negeri tidak lama lagi, seorang pemimpin PAS percaya Barisan Nasional kini sekadar mempunyai ‘jentera-jentera kecil’ yang menunggu masa untuk “hanyut”.

Dalam ucapannya di majlis Aidilfitri anjuran PAS di Selangor semalam, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Sanusi Md Nor, mendakwa ‘jeneral-jeneral’ BN “sudah keluar” dan gabungan itu tidak mempunyai jentera besar.

Dalam video yang dimuatnaik di Facebook beliau, Sanusi sebelum itu melakar gambaran kepada hadirin bahawa PAS berdepan dengan suatu ‘gerakan ekstrem’ yang tiba-tiba menjadi kerajaan di peringkat persekutuan.

Beliau mendakwa ada suatu ekstremisme yang berlaku dalam Barisan Nasional, “yang tak tahu dikuasai oleh siapa pasai jeneral-jeneral semua dah keluar dah.”

“BN ni semua tak ada jentera besar dah, semua jentera-jentera kecil yang tunggu masa untuk hanyut bersama dengan arus Pakatan Harapan,” katanya, tanpa huraian lanjut.

Sanusi mendakwa kerajaan persekutuan melakukan tindakan ekstrem apabila ia mengumumkan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tidak mahu buat projek Kedah Aerotropolis.

Beliau mendakwa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dibesarkan untuk “lawan” Kedah Aerotropolis.

“Kos untuk tabur laut sahaja lebih besar, lebih banyak duit diperlukan daripada bantu kita di Kedah. Tapi tak apa tuan-tuan, oleh kerana dia ada kepentingan politik yang besar di Pulau Pinang, berapa bilion pun dia sanggup.

“Itu saya kata ‘ekstrem’,” katanya, dan menambah Kedah Aerotropolis tidak memerlukan duit persekutuan dan dibina atas ladang sawit.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 24 Feb lepas mengumumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan dinaik taraf dan dibesarkan, bagi menarik lebih banyak pelabur, pedagang, dan pelancong, membabitkan kos RM1.2 bilion.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata soal kerajaan menolak pembangunan Kedah Aerotropolis tidak berbangkit kerana permohonan aerodrome secara rasmi belum dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.