Cium pelancong ketika skuba, pembantu jurulatih selam dicekup

Cium pelancong ketika skuba, pembantu jurulatih selam dicekup

Suspek ditahan di sebuah penginapan atas air, dekat Semporna, selepas mangsa membuat laporan jam 10.03 pagi Sabtu lalu.

Suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba direman lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut, kata polis.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang juga pembantu jurulatih selam skuba di Semporna Sabtu lalu kerana disyaki mencabul seorang pelancong ketika melakukan aktiviti menyelam.

Pemangku Ketua Polis Semporna, Arif Abdul Razak, berkata suspek ditahan di sebuah penginapan atas air, dekat sini, selepas mangsa membuat laporan pada 10.03 pagi Sabtu.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa berumur 25 tahun itu, kejadian berlaku pada Jumaat kira-kira jam 1.00 tengahari.

“Mangsa mendakwa telah dicium pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selaman skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini,” katanya lapor Berita Harian.

Arif berkata, sebaik laporan dibuat mangsa kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal.

Katanya, suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba itu ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial Facebook dengan perkongsian beberapa keping gambar termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam skuba, selain tangkap layar perbualan suspek dengan mangsa serta laporan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.