Video lelaki disamun di Brazil, bukan Segambut

Video lelaki disamun di Brazil, bukan Segambut

Video berdurasi 41 saat yang didakwa berlaku di sebuah stesen kereta api itu dikesan tular semalam.

Tangkap layar video itu menunjukkan seorang lelaki diserang enam suspek ketika mengeluarkan wang dari mesin ATM.
KUALA LUMPUR:
Polis menafikan insiden seorang lelaki dirompak dan dicederakan oleh beberapa individu di sebuah stesen kereta api dalam satu video berlaku di Segambut sebaliknya ia berlaku di Brazil bulan lepas.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata video berdurasi 41 saat bertajuk ‘Segambut. Public transport at night’ itu dikesan tular semalam.

“Hasil semakan mendapati video itu adalah insiden yang berlaku di Brazil pada bulan April dan video insiden berkenaan didapati telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan dakwaan ia berlaku di Kuala Lumpur,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya selain tidak menyebar mahupun berkongsi lanjut sebarang maklumat sedemikian untuk mengelakkan kegusaran serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di dalam negara ini,” katanya.

Klip video itu memaparkan seorang lelaki disamun oleh sekumpulan individu selain dipukul dan ditikam beberapa kali ketika mangsa cuba melawan untuk mendapatkan begnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.