Tubuh ‘war room’ negeri untuk El Nino, kata pengerusi SPAN

Tubuh ‘war room’ negeri untuk El Nino, kata pengerusi SPAN

Charles Santiago berkata, sudah ada tanda-tanda kesan pemanasan dikaitkan dengan fenomena cuaca.

Paras air di kebanyakan empangan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dipantau rapi berikutan risiko kemarau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri digesa segera menubuhkan “war room” untuk mendidik rakyat mengenai kesan fenomena cuaca El Nino, yang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jangka akan bermula Julai ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata sudah ada tanda-tanda kesan pemanasan El Nino, dengan takungan air turun ke paras kritikal di enam empangan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Kebanyakan sumber air minuman kita datang dari sungai, tetapi jika ia mula kering, maka air empangan akan digunakan untuk menampungnya,” katanya kepada FMT.

El Nino ialah fenomena semula jadi dikaitkan dengan kenaikan suhu.

Santiago berkata, kerajaan negeri perlu bersikap kritikal dalam mengekang kesannya.

“Mereka sepatutnya merangka pelan dan sebahagian daripadanya mesti menyediakan maklumat kepada orang ramai berhubung paras sungai dan status empangan.

“Orang ramai mesti dimaklumkan jika terdapat gangguan air di kawasan mereka dan tangki air akan ditempatkan di sana. Maklumat sedemikian perlu disediakan kepada orang ramai di media sosial.”

Kerajaan negeri juga bertanggungjawab mendidik orang ramai cara menjimat air.

“Sebagai contoh, mencuci kereta. Orang ramai mesti diajar mencuci kereta mereka dengan air hujan berbanding air diproses.

“Kita mempunyai hampir dua juta kenderaan di Lembah Klang, jadi anda boleh bayangkan berapa banyak air yang digunakan jika setiap satunya dicuci dua kali seminggu.”

Katanya, perniagaan juga harus memainkan peranan dengan cuba menggunakan lebih banyak air buangan.

“Jika kerajaan negeri tidak menguruskan keadaan dengan baik, orang ramai akan kecewa dan undi akan berubah,” katanya mengenai kesan kekurangan air pada PRN akan datang.

Semalam, SPAN dilaporkan berkata, paras air di Empangan Timah Tasoh di Perlis, Empangan Sungai Muda, Empangan Pedu dan Empangan Beris di Kedah serta Empangan Ayer Itam dan Empangan Telok Bahang di Pulau Pinang akan dipantau rapi berikutan risiko kemarau.

Katanya, ia sudah mengarahkan semua operator air negeri mengambil langkah mencegah gangguan bekalan air akibat kemarau, termasuk memantau bekalan paras air mentah di sungai dan empangan bagi memastikan operasi loji rawatan air dengan baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.