SSLR fasa 2, 3 dalam proses penilaian, kata TPM

SSLR fasa 2, 3 dalam proses penilaian, kata TPM

Fadillah Yusof berkata, selepas selesai proses itu kelak, ia akan dibawa untuk proses tender.

Fadillah Yusof berkata, fasa pertama projek Sabah-Sarawak Link Road dari Lawas ke Pa Berunut sudah bermula.
MIRI:
Pembinaan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) fasa dua dan tiga yang menghubungkan Sabah dan Sarawak tanpa perlu melalui Brunei, kini dalam proses pengurusan serta penilaian harga.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, selepas selesai proses itu kelak, ia akan dibawa untuk proses tender.

Katanya, fasa pertama projek itu dari Lawas ke Pa Berunut sudah bermula.

“Saya diberikan amanah oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) untuk membantu Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi untuk memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak dapat dilaksanakan secepat mungkin.”

Beliau berkata demikian semasa majlis Peng Lamei Ledoh Pahu Kayan 2023 sebagai tanda kesyukuran tamatnya musim menuai anjuran Persatuan Kayan Sarawak di sini, malam tadi.

Fadillah berkata, bagi fasa dua Projek Pan Borneo yang menghubungkan Miri dengan Limbang dan seterusnya Lawas dengan melalui Brunei dapat dilaksanakan dalam penggal ini.

Menurutnya, kependudukan jarang di kawasan terpencil Sarawak menjadi cabaran kerana mengikut dasar rancangan pembangunan kerajaan persekutuan, tumpuan pembangunan adalah di kawasan berpenduduk padat.

Ini menyebabkan kawasan itu ketinggalan jauh di belakang dari segi pembangunan, namun kerajaan mula memberi tumpuan serius terhadap pembangunan di Sarawak.

Di peringkat Sarawak katanya, beberapa pihak berkuasa pembangunan wilayah ditubuhkan yang dilihat dapat melaksanakan pembangunan jalan penghubung yang menghubungkan Pan Borneo dengan jalan pesisir pantai.

“Maknanya jalan-jalan balak akan dinaik taraf dan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan infrastruktur perhubungan di Sarawak ini,” katanya sambil menambah setiap projek tidak lari daripada pelbagai cabaran seperti jumlah kontraktor dan bahan binaan.

Pada masa sama, beliau menyeru pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak menjalin kerjasama dengan Yayasan Sarawak dalam mengadakan program untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran modal insan di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.