
Dalam kenyataan, Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata pemantauan varian Covid-19 dan virus pandemik lain berpotensi masih diperlukan.
“Walaupun pihak berkuasa kesihatan tertinggi telah mengisytiharkan Covid-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global, ia juga menyatakan virus itu kekal sebagai ancaman penting, terutamanya kumpulan berisiko.”
Katanya, virus terbabit boleh memberi kesan terhadap sistem kesihatan negara dari masa ke masa sekiranya orang awam tidak berwaspada.
Pada Jumaat, WHO mengumumkan berakhirnya Covid-19 sebagai kecemasan kesihatan global, langkah terbesar untuk menamatkan pandemik yang mengorbankan lebih 6.9 juta mangsa, selain menggugat ekonomi global dan menjejaskan masyarakat.
Kadar kematian menjadi perlahan berbanding ketika puncak melibatkan lebih 100,000 mangsa setiap minggu pada Januari 2021 kepada lebih 3,500 dalam seminggu hingga 24 Apr, menurut data WHO.
“Dari sini, kita boleh bergerak ke hadapan dalam menguruskan virus berkenaan dengan menggunakan dapatan diperoleh, seperti memakai pelitup muka apabila mempunyai simptom, terutama dalam kalangan individu berisiko tinggi, ujian kendiri, dan pengasingan ketika diuji positif,” kata Muruga.
Katanya, mencuci dan sanitasi tangan secara kerap merupakan langkah paling asas dalam mengekang dan mengawal penyakit berjangkit.
Katanya, pandemik itu juga memaparkan kepentingan sistem kesihatan berdaya tahan dan menyeru kerajaan berterusan memberi keutamaan mengukuhkan sistem kesihatan negara.
Sebelum ini, bekas Adun Johor, Dr Boo Cheng Hau, menyeru peningkatan melibatkan kesihatan awam dilaksanakan dan meningkatkan kesedaran awam untuk berdepan cabaran mendatang.
Jawatankuasa kecemasan WHO pertama kali mengisytiharkan amaran Covid-19 berada pada tahap tertinggi, pada 30 Jan 2020. Status itu membantu tumpuan antarabangsa terhadap ancaman kesihatan itu, selain melipatgandakan rawatan dan penghasilan vaksin.