Sumbang harta kalau betul mahu bantu Melayu, PM cabar pemimpin kaya

Sumbang harta kalau betul mahu bantu Melayu, PM cabar pemimpin kaya

Anwar Ibrahim berkata, ramai pemimpin dan taikun yang kaya raya perlu bantu orang Melayu yang memerlukan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim disambut orang ramai ketika hadir ke majlis rumah terbuka Aidilfitri Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang di Bukit Mertajam. (Gambar Sadiq Asyraf/Pejabat Perdana Menteri)
BUKIT MERTAJAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelar pemimpin dan taikun Melayu yang mendakwa mendokong hak orang Melayu tetapi sebaliknya memperkayakan diri dan keluarga sendiri.

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar berkata, mereka sepatutnya menyumbang sebahagian harta mereka untuk membantu orang Melayu.

“Jangan guna kuasa untuk kayakan sanak saudara, kemudian dah kaya sanak saudara, apabila hilang kuasa, cakap nak selamatkan orang Melayu, hidup Melayu.

“Jika betul nak tolong dan selamatkan orang Melayu, saya nak beritahu pembesar yang Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri yang kaya-kaya ini, yang kamu ambil berpuluh-puluh bilion, bagi setengah kepada orang Melayu,” katanya dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang.

Pada Mac lalu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beberapa pemimpin politik mempunyai kekayaan yang luar biasa.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Anwar berkata, ada sebahagian pemimpin mendakwa mereka bersih tetapi sebenarnya berselindung di sebalik “sistem yang kotor”.

Pada bulan yang sama, Anwar berkata tindakan akan diambil terhadap pemimpin yang rasuah atau salah guna kuasa, termasuk mereka yang bergelar “Tun” atau “Tan Sri”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.