
Menterinya Fahmi Fadzil mengambil contoh kes penipuan pencuci rumah mahupun jualan kereta yang berlaku sebelum ini berkata, tiada maklum balas daripada syarikat pemilik media sosial Facebook tersebut.
“Kami ingin cuba memahami kenapa pihak Meta begitu lambat atau lembap dalam mengenal pasti penipuan yang berlaku menerusi dalam talian,” katanya selepas menghadiri program ramah mesra bersama pengguna media sosial di Muzium Telekom.
Tambahnya, mungkin ada keperluan untuk pihaknya meneliti kewajaran bagi beberapa syarikat penyedia perkhidmatan platform media sosial itu untuk berpengkalan di Malaysia.
“Mereka menyediakan perkhidmatan tetapi tiada pengkalan pejabat di sini. Ini sedikit menyukarkan. Nak tunggu ‘travelling’ dan sebagainya.
“Keberadaan wakil di Malaysia akan memudahkan masalah sedemikian untuk diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kementerian mengambil maklum masalah perjudian dalam talian dan sedang menjalin kerjasama dengan polis mahupun SKMM bagi mengatasi masalah itu.
“Tapi masalah judi ini kita tutup satu dia buka lain. Mereka menggunakan banyak platform selain laman dan aplikasi.
“Kita lihat di luar aplikasi itu tiada masalah tapi dalamnya mempunyai unsur perjudian yang tidak dibenarkan. Mungkin kita perlu meneliti cara yang sedikit berbeza bagi menyelesaikan kegiatan jenayah sebegini,” katanya.