Usaha jatuh kerajaan sukarkan duta tarik pelabur, kata Nazri

Usaha jatuh kerajaan sukarkan duta tarik pelabur, kata Nazri

Pelabur sangat mementingkan kestabilan sebelum membuat pelaburan di mana-mana negara, kata duta besar Malaysia ke AS itu.

Duta Besar Malaysia ke AS Nazri Aziz menasihatkan Ahli Parlimen menghormati kerajaan perpaduan yang diputuskan Agong.
PETALING JAYA:
Tugas duta untuk meyakinkan pelabur menjadi sukar apabila wujud usaha menjatuhkan kerajaan kerana akan menampakkan negara tidak stabil, kata Nazri Aziz.

Duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) itu, berkata pelabur asing sangat mementingkan kestabilan sebelum membuat pelaburan di mana-mana negara.

“Saya percaya duta-duta Malaysia di negara lain juga bimbang jika ada usaha menjatuhkan kerajaan kerana negara (nampak) tidak stabil dan pelabur tidak berminat untuk datang ke negara kita.

“Saya bertemu pelabur-pelabur di Amerika ini dan mereka sangat menekankan soal kestabilan sesebuah kerajaan sebelum melabur di mana-mana negara,” katanya menurut Astro Awani.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Ahli Parlimen agar menghormati kerajaan perpaduan yang telah diputuskan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya, beliau bertemu ramai diaspora Malaysia di AS yang menyokong usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu menghapuskan rasuah, selain mahu kerajaan sedia ada kekal selama satu penggal bagi mewujudkan kestabilan.

“Semua yang saya temui menyokong usaha perdana menteri yang mahu menghapuskan rasuah,” katanya.

“Malah, ada antara mereka menyifatkan Ahli-Ahli Parlimen yang mahu menjatuhkan kerajaan hari ini bertindak demikian mungkin kerana ada terlibat dengan isu rasuah.”

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung kestabilan kerajaan yang berterusan, meskipun sudah enam bulan PRU15 berlalu.

Baginda menitahkan agar rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya diutamakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.