
Kenyataan itu hadir susulan PAS menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu digerakkan bekas Ahli Parlimen Langkawi selepas meninggalkan Pejuang.
Menerusi pertemuan dengan bekas perdana menteri itu Selasa lalu, Hadi menyifatkan Mahathir sebagai negarawan mempunyai banyak pengalaman sejak zaman penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan, malah pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.
“Walaupun beliau banyak berkhilaf dengan PAS, namun banyak titik persamaan yang wajib diambil kira dan bersatu menunaikan kewajipan agama, bangsa dan negara bersama Islam.
“Antara perbincangannya ialah wajibnya perpaduan kaum Melayu Islam yang menjadi majoriti penduduk asal Malaysia dan majoriti masyarakat majmuk,” katanya di Facebook.
FMT semalam melaporkan pemimpin tertinggi PAS diketuai Hadi bertemu Mahathir bagi menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu, yang turut dihadiri Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadi turut menolak dakwaan Proklamasi Orang Melayu bersifat perkauman.
Sementara itu, PAS menyeru pemimpin Melayu Islam untuk menyatukan kaumnya dengan meletakkan kuasa politik ke landasan betul dalam keadaan kaum Melayu tidak fanatik perkauman.
“Kalau dibiarkan, Melayu akan bertindak salah juga dengan semangat fanatik perkauman yang berlaku secara automatik tanpa dikawal,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, menjadi kesilapan dan berdosa besar bagi orang Melayu Islam yang berpecah belah dengan niat yang salah kerana disebabkan itu “ia telah melemahkan kuasa politik kaum Melayu Islam yang wajib memimpin negara”.