
Cadangan itu susulan laporan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ketua pasukan petugas 1MDB Johari Ghani mempertikai kesesuaian perjanjian penyelesaian pada 2020 antara pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dengan bank pelaburan berpangkalan di New York itu.
“Ada dua bidang kuasa di mana perjanjian itu mungkin boleh dicabar iaitu New York, tempat Goldman Sachs berpangkalan, dan London memandangkan perjanjian itu di bawah kekuasaan undang-undang England,” kata peguam yang enggan dinamakan itu.
Katanya, dua bidang kuasa itu masing-masing mempunyai merit, iaitu New York mempunyai kaitan rapat dengan fakta kes memandangkan Goldman Sachs dan pegawai utamanya berada di situ.
“Selain itu, dua eksekutif kanan bank, Tim Leissner dan Roger Ng, telahpun disabitkan bagi jenayah berkaitan 1MDB di New York,” katanya.
Pada masa sama, katanya, London juga mungkin lokasi sesuai kerana pihak-pihak difahamkan telah mempersetujui undang-undang England menguasai perjanjian penyelesaian itu.
Pilihan undang-undang berbanding hubungan rapat
“Terdapat juga pendahulu untuk mencabar perjanjian sedemikian di United Kingdom,” kata peguam itu.
Pada 2018, Malaysia memulakan prosiding di mahkamah di London untuk mengetepikan perjanjian penyelesaian setahun sebelumnya, antara 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) atas alasan ia diperolehi secara penipuan. Kes itu diselesaikan secara baik pada Februari lalu.
“Memandangkan perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan tertakluk kepada undang-undang England, jelas langkah pertama kerajaan adalah untuk mendapatkan nasihat peguam diraja sama ada wujud alasan kukuh bagi mengetepikannya,” kata peguam berkenaan.
Menurutnya, peguam diraja juga mampu menasihatkan sama ada kerajaan mempunyai tuntutan terhadap pihak-pihak terlibat dalam merundingkan perjanjian penyelesaian itu, selain sama ada ia boleh dibawa dalam satu tuntutan sama atau secara berasingan.
Pada masa sama, kerajaan wajar mendapatkan nasihat perundangan firma guaman terkemuka di New York supaya dapat membuat keputusan termaklum, katanya.
‘Terkejut dengan penyelesaian yang cepat’
Menurut laporan pada Selasa, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menyuarakan rasa terkejut betapa pantasnya penyelesaian dicapai dengan Goldman Sachs.
“Bayaran modal pokok bon hanya perlu dilunaskan pada Mei 2022, bermakna kerajaan mempunyai tempoh cukup untuk berunding,” katanya.
Johari berkata, pada 30 Jun 2020 beliau menemui Muhyiddin, menteri kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz, dan Peguam Negara Idrus Harun untuk membincangkan kemungkinan tuntutan terhadap Goldman Sachs.
Beliau mengusulkan cadangan secara bertulis pada 3 Julai kepada Muhyiddin, yang seterusnya menghantarnya kepada Idrus pada 15 Julai 2020.
Bagaimanapun, menjelang 24 Julai 2020 kerajaan telah menandatangani “Points of Agreement” dengan Goldman Sachs. Perjanjian penyelesaian penuh dikuatkuasakan pada 18 Ogos 2020.
Susulan itu, peguam berkenaan berkata inkuiri penuh wajar dilakukan jika dilihat pada garis masa diberikan Johari itu.
Tommy Thomas pertikai perjanjian pada 2020
“Bekas peguam negara Tommy Thomas membuat pemerhatian sama tidak lama selepas Tengku Zafrul mengumumkan perjanjian penyelesaian itu ditandatangani,” kata peguam berkenaan.
Dalam surat terbuka kepada The Edge yang diterbitkan pada Ogos 2020, Thomas – yang pada 2018 membawa tuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs dan 17 pengarahnya – berkata pendakwaan mempunyai kes kukuh terhadap semua tertuduh.
“Tiada sebab objektif untuk mencapai penyelesaian pada peringkat ini,” kata Thomas.
Bulan lalu, Anwar dilaporkan Utusan Malaysia bersetuju dengan pandangan pasukan petugas bahawa kerajaan sepatutnya menerima pampasan lebih tinggi daripada yang dipersetujui.
Dalam wawancara dengan Bloomberg Television pada Januari, Anwar menuduh Goldman Sachs melanggar terma perjanjian penyelesaian, dan menggunakan kekuatan kewangannya untuk menetapkan syarat.
Pada 27 Feb lalu, Johari memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia menanggung kerugian amat besar dalam perjanjian itu dan menggesa kerajaan merungkai semula persetujuan berkenaan selain menyiasat peranan pihak yang mewakili Putrajaya dalam rundingan.
Pada 9 Mac, Anwar memberitahu Parlimen, beliau bersetuju dengan Johari bahawa bayaran penyelesaian USD2.5 bilion (RM11 bilion) yang dirunding kerajaan pimpinan Muhyiddin terlalu rendah apabila mengambil kira kerugian kira-kira USD7 bilion (RM31 bilion) ditanggung.
Keesokannya, perdana menteri mengumumkan pelantikan Johari untuk mengetuai pasukan petugas bagi menyelesaikan beberapa isu dalam memperoleh kembali aset 1MDB.
Pada Ogos 2018, Leissner mengaku salah di New York kerana bersubahat mengubah wang haram yang menyalahi undang-undang anti-rasuah negara itu. Beliau kini menunggu hukuman dijatuhi mahkamah.
Mac lalu, dia diarahkan mengembalikan USD43 juta dan saham bernilai lebih USD200 juta.
Pada bulan sama, Ng yang mengetuai operasi Goldman Sachs di Malaysia, dipenjara 10 tahun kerana peranannya dalam skandal 1MDB. Beliau dipenjara 10 tahun dan turut diarahkan mengembalikan USD35.1 juta.