Bomba kenal pasti 406 titik panas seluruh negara

Bomba kenal pasti 406 titik panas seluruh negara

Antara kawasan terbabit ialah Mukah, Miri di Sarawak; Dungun, Kemaman di Terengganu; Kuantan, Pekan di Pahang; Pasir Mas, Bachok di Kelantan dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor.

Setakat ini status cuaca panas tahap satu dikesan di dua kawasan iaitu di Padang Terap, Kedah dan Jempol, Negeri Sembilan dengan suhu dicatatkan mencecah antara 35-37 darjah Celsius. Antara kawasan terbabit ialah Mukah, Miri di Sarawak; Dungun, Kemaman di Terengganu; Kuantan, Pekan di Pahang; Pasir Mas, Bachok di Kelantan dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenal pasti 406 kawasan titik panas (hotspot) di seluruh negara melalui satelit, setakat ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Ahmad Irzam Osman, berkata antara kawasan itu ialah Mukah, Miri di Sarawak; Dungun, Kemaman di Terengganu; Kuantan, Pekan di Pahang; Pasir Mas, Bachok di Kelantan dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Selangor.

Justeru, Irzam berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar membuat pemantauan berkala sama ada melalui rondaan serta tinjauan udara menggunakan helikopter atau dron bagi memastikan keadaan terkawal.

“Setakat ini, status cuaca panas tahap satu dikesan di dua kawasan iaitu di Padang Terap, Kedah dan Jempol, Negeri Sembilan. Penduduk di kawasan berkenaan telah diingatkan untuk berjaga-jaga kerana suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius telah berlaku tiga hari berturut-turut,” katanya kepada Bernama di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Irzam berkata sebanyak 4,106 kes pembakaran terbuka dicatatkan setakat Mac lepas.

“Kami jangkakan jumlah ini akan meningkat berbanding tahun lepas dengan 9,596 kes berikutan cuaca panas yang diramal hingga Ogos ini.

“Selain itu, kebakaran tanah gambut juga dikategorikan sebagai pembakaran terbuka kerana melibatkan pembakaran berskala besar yang mungkin tercetus kerana keadaan cuaca semasa,” katanya.

Irzam berkata, pihaknya bersedia sama ada dari segi kelengkapan logistik kebakaran dan keanggotaan bagi mengendalikan kes pembakaran terbuka yang dijangka meningkat tahun ini ekoran cuaca panas.

Dalam pada itu, beliau berkata bomba akan menggunakan peralatan pemadaman kebakaran hutan MARK III hasil inovasi pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berfungsi seperti alat pemercik tanaman untuk mengelakkan kebakaran tanah gambut daripada merebak yang boleh mengakibatkan jerebu melampau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.