Terengganu arah semua aktiviti luar sekolah ditangguh

Terengganu arah semua aktiviti luar sekolah ditangguh

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu berkata tiada laporan yang memerlukan sekolah ditutup akibat fenomena panas setakat ini.

Arahan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu kepada Pejabat Pendidikan Daerah itu bagi memastikan keselamatan serta kesihatan pelajar dan guru ketika cuaca panas.
PETALING JAYA:
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan semua aktiviti luar di sekolah ditangguhkan sementara disebabkan cuaca panas ketika ini.

Pengarahnya, Abdul Muie Ngah, berkata pihaknya memandang serius situasi panas melampau ketika ini dan arahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Terengganu itu bagi memastikan keselamatan serta kesihatan pelajar dan guru.

Beliau berkata, pihaknya mendapati suhu di Terengganu masih terkawal dan tidak melebihi 37 darjah Celsius setakat ini.

Katanya, hujan yang melanda Terengganu sejak dua hari lalu sedikit sebanyak membantu mengurangkan situasi panas melampau.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan daripada PPD yang memerlukan sekolah ditutup akibat fenomena panas, sebaliknya sesi persekolahan boleh diteruskan seperti biasa.

“Bagaimanapun, kita juga merujuk apa jua keputusan dibuat dan arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan memberi kebenaran khas kepada pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya berpakaian sukan semasa cuaca panas dan kering ketika ini.

Murid yang berpakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.