
Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR masing-masing meningkat kepada 3.25% dan 2.75%, kata BNM dalam kenyataan.
“Memandangkan prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.
“Berikutan keputusan ini, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis Covid-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi.
“Susulan kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal “agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi”.
“MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya.