Lelaki sebabkan kematian anak teman wanita dihukum penjara 17 tahun

Lelaki sebabkan kematian anak teman wanita dihukum penjara 17 tahun

Bukti menunjukkan tertuduh memukul dan mendera mangsa yang berusia dua tahun di sebuah resort pada 2013.

Hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Said berkata bekas pemilik bengkel itu bernasib baik kerana terlepas hukuman mati.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pemilik bengkel dihukum penjara 17 tahun kerana menyebabkan kematian anak lelaki teman wanitanya yang berusia dua tahun kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, hukuman penjara terhadap Hisham Mat Yunus bermula pada tarikh dia ditangkap iaitu 24 Jun 2013.

“Kamu bernasib baik kerana terlepas hukuman mati,” kata Hakim Kamaludin Said yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

Hakim Hadhariah Syed Ismail dan Ahmad Zaidi Ibrahim turut menganggotai panel yang mendengar rayuan Hisyam atas sabitan membunuh.

Pada permulaan prosiding hari ini, peguam bela Hisyam Teh Poh Teik memberitahu panel rayuan bahawa Pejabat Peguam Negara memberi maklum balas positif terhadap representasi dikemukakan untuk menukar sabitan membunuh kepada menyebabkan kematian.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Sie Wee mengesahkan perkara itu.

Pada 22 Feb 2019 tertuduh yang mempunyai tiga isteri dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh Umar Haiqal Hazlee.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Resort Taman Hutan Rimba Komanwel dekat Gombak pada 9 Mei 2013 hingga 2 Jun 2013.

Hari ini, Hisham mengaku bersalah atas tuduhan pindaan itu yang membawa hukuman penjara 30 tahun.

Ketika membuat rayuan hukuman, Hisyam yang dibantu Badrul Hisham Sani dan Low Wei Loke memohon hukuman penjara 15 tahun dikenakan terhadap Hisham dari tarikh dia ditangkap.

“Perayu ada tiga isteri dan lima anak masih bersekolah,” katanya.

Ng berkata, demi kepentingan awam, hukuman berat perlu dikenakan kerana kejadian itu menyebabkan seorang kanak-kanak kehilangan nyawa.

Ibu kanak-kanak itu yang juga seorang anggota polis memberitahu mahkamah Hisyam sering memukul mangsa dengan alasan mahu menghalau roh jahat.

Pada 3 Jun 2013, dia melihat Hisham melakukan CPR pada kanak-kanak itu yang terbaring dan sudah tidak bernyawa.

Pada hari sama, wanita itu, seorang anak perempuannya dan tertuduh memandu sebuah kereta dan menanam mayat kanak-kanak itu di satu kawasan hutan di Bukit Brinchang, Cameron Highlands.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.