Kawasan carian 3 kru kapal tangki hilang diperluas

Kawasan carian 3 kru kapal tangki hilang diperluas

Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria berkata kawasan carian diperluaskan kepada tujuh sektor dengan keluasan 371 batu nautika persegi.

Tiga kru itu hilang selepas kapal tangki MT Pablo terbakar kira-kira 50% pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi pada 1 Mei lepas. (Gambar Maritim)
JOHOR BAHRU:
Kawasan pencarian tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang selepas kapal itu terbakar pada Isnin lepas diperluaskan kepada tujuh sektor dengan keseluruhan keluasan 371 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria berkata pencarian melibatkan sebuah aset udara AW139 bersama dua bot ronda Maritim, dua kapal dan sebuah bot Tentera Laut, sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua kapal Jabatan Laut.

“Pihak Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) Bomba dan pihak Jabatan Laut membuat penilaian tahap keselamatan kapal MT Pablo pada pagi tadi dengan menaiki pesawat AW139 namun kapal MT Pablo masih belum selamat untuk dinaiki,” katanya dalam kenyataan.

Ketiga-tiga kru kapal terbabit dikenal pasti sebagai warga India iaitu Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, manakala seorang lagi warga Ukraine iaitu Sabit Shenderovskyi, 37.

Kapal tangki MT Pablo berdaftar di Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50% pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi pada 1 Mei lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.