
Perkara itu dikongsikan pembantu Mahathir, Abu Bakar Yahya melalui hantaran di Facebook.
“Beberapa pimpinan tertinggi PAS diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan Mahathir Mohamad,” katanya.
Beberapa keping gambar turut dikongsikan melalui Facebook Proklamasi Orang Melayu, memaparkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Bachok Syahir Che Sulaiman turut bersama Hadi dalam sesi menandatangani itu.
Turut dikongsikan rakaman pertemuan dan video respons ringkas Hadi berkaitan Proklamasi Orang Melayu.
“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia, tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.
“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” kata Hadi.
Ketika diminta mengulas dakwaan Proklamasi Orang Melayu bersifat perkauman, beliau berkata perkara itu tidak betul.
“Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun, kita tak pinggirkan kaum lain. Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong,” katanya.
Proklamasi Orang Melayu digerakkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu secara dalam talian, selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.
Pada 27 Mac lalu, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata kempen itu akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.
Mahathir pada 19 Mac lalu menuduh kerajaan Anwar Ibrahim bersikap “diktator” selepas dua kali program itu dibatalkan.
Walaupun mengakui beliau tiada bukti siapa yang mengarahkan acara itu dibatalkan tetapi Mahathir yakin Anwar adalah dalangnya.
Penganjur sebelum ini juga dilaporkan berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik tetapi hanya mahu membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.