
Katanya, bagasi didaftarkan sebagai “check-in baggage” itu diimbas mesin pengimbas bagasi di bahagian “in-line baggage screening” bawah kawalan serta seliaan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sepenuhnya.
Menurutnya, kawalan itu bagi memastikan keselamatan pesawat, kawasan lapangan terbang dan penerbangan yang lebih tertumpu kepada barangan berbahaya serta berisiko seperti senjata api, bom dan peluru.
“Pengimbasan dan pemantauan imej semua bagasi dilakukan sepenuhnya polis bantuan MAHB bertugas dan hasil pemeriksaan itu akan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan,” katanya menurut Harian Metro.
Jelasnya, Jabatan Kastam dan MAHB dalam cadangan pelaksanaan pemeriksaan secara berpusat terhadap penumpang penerbangan antarabangsa di KLIA Terminal 2, Sepang.
Kenyataan itu menyusul laporan 22 ekor ular ditemui dalam bagasi seorang penumpang penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Chennai pada 29 April lalu.
Jabatan Kastam berkata, penggunaan mesin pengimbas kastam di Cawangan Pemeriksaan Penumpang semasa ketibaan untuk mengimbas bagasi penumpang dan “hand carry baggage” bagi mengesan barangan berduti, bercukai, larangan secara cekap dan berkesan serta mencegah semua aktiviti penyelewengan dan penyeludupan.
“Pegawai kastam akan mengarahkan penumpang mengikrar barang miliknya dan mengimbas setiap bagasi serta beg ‘hand carry baggage’ yang dibawa ke kaunter pemeriksaan kastam seperti peruntukan di bawah Seksyen 103, Akta Kastam 1967.”
Katanya, di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, bagasi penumpang berstatus “check-in baggage” perlu didaftarkan di kaunter “check-in bag” di mesin pengimbas MAHB sebelum penumpang melalui kawasan pemeriksaan imigresen dan kastam.
“Apabila penumpang melalui kawasan pemeriksaan kastam, hanya bagasi atau beg diikrar sebagai ‘hand carry baggage’ yang akan diperiksa pegawai kastam.”