Anak Sirul Azhar minta Australia pertimbang semula suaka untuk bapa

Anak Sirul Azhar minta Australia pertimbang semula suaka untuk bapa

Shukri Azam bimbang nyawa bapanya terancam jika mereka pulang ke Malaysia.

Dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar (kiri) dan Azilah Hadri disabitkan atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Tinggi pada 2009. Mereka dijatuhi hukuman mati pada 2015.
PETALING JAYA:
Anak kepada Sirul Azhar Umar, bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, merayu kepada Australia untuk mempertimbangkan semula pemberian suaka politik kepada bapanya.

Shukri Azam berkata, beliau dan bapanya tidak bercadang pulang ke Malaysia, walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah berat termasuk bunuh telah dimansuhkan.

Shukri, yang berusia enam tahun ketika Altantuya dibunuh, bimbang nyawa bapanya terancam jika mereka pulang ke Malaysia, menurut The Sydney Morning Herald.

“(Apabila) kami datang ke Australia, (kami) hanya mahu mula hidup baharu. Buat pertama kali dalam hidup saya, saya merayu kepada Australia.

“Tolong berikan ayah saya peluang kedua kerana kami tidak melakukan apa-apa kesalahan di Malaysia mahupun di Australia.

“Ayah saya seorang yang kuat dan merendah diri,” kata Shukri yang kini berusia 23 tahun.

Shukri dilapor dibesarkan oleh ibu bapa angkat di Australia selepas tidak lagi berada bawah jagaan ibunya. Beliau telah menetap di Australia selama hampir 10 tahun.

Pada 2006, Altantuya ditembak di kepala di sebuah hutan di Puncak Alam, Selangor. Mayatnya kemudian diletupkan.

Sirul dan seorang lagi bekas anggota polis, Azilah Hadri disabitkan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan membunuh Altantuya.

Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengembalikan sabitan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati. Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir.

Sirul berada di pusat tahanan imigresen Villawood sejak 2015 selepas ditahan polis Australia. Permohonan pertamanya untuk mendapatkan suaka politik di Australia ditolak pada 2019.

Azilah kini banduan akhir di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.