
TUDM dalam kenyataan memaklumkan operasi dijangka berlarutan hingga Khamis ini yang turut melibatkan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan Pulau Pinang.
Menurut TUDM, operasi bermula 11 pagi melibatkan penyediaan empat tangki bancuhan larutan garam dengan muatan 1,500L bagi setiap tangki.
“Setelah mengambil masa lebih kurang tiga jam penyediaan bancuhan, keempat-empat tangki ini dimasukkan ke dalam pesawat angkut C130H oleh anak kapal 20 Skuadron,” katanya.
Kenyataan itu menyebut pesawat angkut TUDM diterbangkan oleh Komander Pesawat Mohd Khairol Fadly Abu Bakar bersama dua juruterbang, lima anak kapal, empat kakitangan MetMalaysia dan seorang kakitangan Badan Kawal Selia Air yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 2.45 petang.
“Semoga usaha bersepadu dilaksanakan dapat membantu usaha pembenihan awan bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan,” katanya.