
“Bayaran itu kita akan lihat bagaimana. Kita kena luluskan dulu Kertas Putih Kesihatan (di Dewan Rakyat).
“Bayaran dan bagaimana (penstrukturan) ini akan dilaksanakan akan datang kemudian,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri sesi perjumpaan di Dewan Sri Pinang.

Radzi berkata, peranan lebih besar doktor yang mempunyai klinik sendiri dalam menyediakan penjagaan kesihatan kepada komuniti akan dimasukan ke dalam kertas putih yang bakal dibentangkan pada Jun ini.
Beliau menjawab cadangan oleh seorang peserta Dr Kanthan Murugiah yang mahu struktur bayaran untuk doktor yang mempunyai klinik sendiri disemak semula.
Kanthan yang juga doktor swasta dan wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Pulau Pinang berkata, bayaran perkhidmatan untuk doktor di klinik swasta tidak berubah sejak 25 tahun lalu.
Katanya, doktor yang merawat pesakit dengan penyakit tidak diketahui hanya boleh mengenakan bayaran maksimum RM80, walaupun kos operasi klinik semakin tinggi.
“Ini adalah situasi yang orang tidak nampak dan sesuatu perlu dilakukan mengenai perkara itu.
“Salah satu sebab klinik ini tidak ‘pupus’ kerana mereka menyediakan ubatan. Jadi ada sedikit keuntungan yang diperoleh dan operasi mereka bergantung pada itu. Sama ada ia beretika atau tidak, inilah kenyataannya,” katanya.
Kanthan menggesa KKM membantu doktor yang mempunyai klinik sendiri.
Beliau juga mencadangkan doktor di hospital kerajaan dibenarkan untuk menubuhkan kesatuan pekerja bagi memperjuangkan hak mereka.