Kurang tutup jalan untuk elak kesesakan jalan raya, kata TPM

Kurang tutup jalan untuk elak kesesakan jalan raya, kata TPM

Ahmad Zahid Hamidi berkata, penutupan jalan susulan projek pembinaan adalah antara punca yang dikenal pasti berlaku kesesakan jalan raya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memutuskan supaya kesesakan lalu lintas diselesaikan lebih awal daripada tahun 2030 yang disasarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Penutupan jalan raya susulan pembinaan jalan, bangunan dan infrastruktur harus dikurangkan dan dibuka semula sebagai langkah segera mengatasi kesesakan lalu lintas, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bil 1/2023, Zahid berkata penutupan jalan adalah antara punca yang dikenal pasti berlaku kesesakan jalan raya.

“Satu koordinasi akan dilakukan segera bagi kawasan pembinaan lebuh raya, bangunan atau lain infrastruktur hendak dikurangkan dan mesti dimaklumkan supaya ada kaedah penyuraian,” katanya.

Zahid berkata penukaran laluan mesti dilakukan segera bagi mengatasi kesesakan terutama di waktu puncak dan dalam hal demikian, jalan atau laluan utama ke satu destinasi akan diperluaskan dengan laluan kontra.

Ditanya sama ada mesyuarat JKMKJR membincangkan pelaksanaan caj kesesakan khususnya di Lembah Klang, Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan tetapi ia akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa teknikal yang akan dipengerusikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dua minggu lagi.

Zahid berkata JKMKJR memutuskan supaya kesesakan lalu lintas diselesaikan lebih awal daripada tahun 2030 yang disasarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sasaran baharu akan ditetapkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal di bawah JKMKJR,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata pihak polis memaklumkan sesetengah jalan raya ditutup terlalu lama dan penyelesaian segera kepadanya adalah semua jalan yang ditutup mesti dibuka semula.

“Ada (jalan) yang sudah dua tiga tahun ditutup tapi belum dibuka balik. Tapi kita nak penutupan jalan yang sudah terlalu lama, mesti dibuka balik segera,” katanya.

Menurut Loke, penguatkuasaan trafik polis memberi cadangan bahawa beberapa jalan di Lembah Klang boleh dibuka semula dan DBKL diminta melihat kepada kesan sebelum membuka semula laluan tersebut.

Beliau berkata segala maklumat dikumpul harus dilengkapkan dalam masa dua minggu dan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk pelaksanaan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.