
Seorang warga emas, N Muniammah, 62, mendakwa dia sudah hampir setahun terpaksa berdepan dengan haiwan liar itu yang kerap menceroboh masuk ke laman rumahnya hingga merosakkan pintu pagar dan cermin tingkap.
“Paling terkini adalah pada Khamis dan Jumaat lepas, dua ekor gajah masuk ke kawasan parkir kira-kira 5 pagi, habis rosak pintu pagar dan cermin tingkap yang sudah banyak kali dibaiki.
“Saya rasa terkejut, tergamam dan menggigil kerana melihat gajah di depan mata hingga panik tidak tahu mahu buat apa. Anjing peliharaan saya juga kelihatan takut,” katanya memetik laporan Bernama.
Muniammah berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana penduduk bukan sahaja kerugian, malah berdepan risiko keselamatan selain gajah liar tidak takut dengan kehadiran manusia.
Seorang lagi penduduk, Saedin Sadoon, 49, mendakwa anak lelakinya turut cedera akibat terlanggar haiwan liar itu di jalan gelap ketika menunggang motosikal.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya telah maklum dengan kejadian berkenaan dan sedang menjejak kumpulan gajah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan operasi menjejak haiwan liar itu akan memakan masa kira-kira dua minggu, sekali gus akan menempatkan gajah tersebut ke kawasan yang jauh dari penempatan.
“Perhilitan akan terus memantau gajah ini dan haiwan liar ini tidak boleh ditangkap atau ditembak dengan sesuka hati kerana dikhuatiri ia akan memberi reaksi luar jangkaan termasuk mengamuk,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa klip video dipercayai dirakam penduduk dengan telefon bimbit berkaitan kehadiran gajah di kawasan perumahan berkenaan, baru-baru ini.