MTUC seru semua syarikat ada kesatuan

MTUC seru semua syarikat ada kesatuan

MTUC berkata penglibatan pekerja dalam kesatuan tidak memberangsangkan memandangkan sekitar 800,000 daripada 15 juta merupakan ahli kesatuan.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor, berkata apabila syarikat tidak mempunyai kesatuan, banyak hak pekerja dinafikan majikan.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan segera meratifikasikan konvensyen 87 dan 98 di bawah protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menyentuh kebebasan serta hak pekerja berpersatuan dan berorganisasi.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor, berkata langkah itu akan memastikan pekerja mendapat gaji bermaruah, pekerjaan baik serta apa-apa faedah yang layak menerusi rundingan dan perjanjian bersama antara kesatuan pekerja dengan majikan.

“MTUC ingin melihat negara kita mencapai status sebagai negara maju dan ia hanya boleh dicapai jika hak pekerja itu dimartabatkan…MTUC menyeru kerajaan untuk mengiktiraf konvensyen tersebut demi kepentingan pekerja di seluruh negara,” katanya menurut Bernama.

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, kerajaan juga perlu mempertimbang mewujudkan satu dasar meningkatkan jumlah penglibatan pekerja dalam kesatuan.

Beliau berkata, penglibatan pekerja dalam kesatuan pada masa kini tidak memberangsangkan dengan hanya 500,000 hingga 800,000 daripada 15 juta pekerja di Malaysia merupakan ahli kesatuan.

“Kami berharap kerajaan dapat memperkenalkan suatu dasar supaya setiap syarikat perlu mewujudkan kesatuan pekerja. Bila mana syarikat itu tidak ada kesatuan pekerja, banyak hak pekerja dinafikan oleh majikan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MTUC turut berharap kerajaan akan mengkaji semula struktur penggajian di Malaysia terutamanya melalui pelaksanaan model gaji kehidupan wajar.

Katanya, kenaikan gaji dapat meningkatkan produktiviti pekerja yang seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara, dan perkara itu telah dibuktikan melalui kajian dijalankan Jabatan Perangkaan yang mendapati produktiviti negara meningkat 3.3% pada suku keempat tahun lalu iaitu selepas pelaksanaan gaji minimum RM1,500, pada Mei 2022.

“MTUC berpandangan bahawa dengan peningkatan gaji, produktiviti akan meningkat secara selari. Kami berharap dengan reformasi struktur gaji ini akan meningkatkan produktiviti dan membolehkan Malaysia berada pada tahap yang sesuai dengan statusnya sebagai negara maju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.