
Presidennya, Adnan Mat berkata, ia antara usul yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat dan sekiranya diluluskan, kira-kira 30,000 kakitangan awam berstatus kontrak di pelbagai kementerian akan dapat diserapkan ke jawatan tetap.
“Sebelum ini satu dasar telah diluluskan iaitu pekerja kontrak boleh diberi jawatan tetap selepas berkhidmat selama 15 tahun dan ke atas secara ‘one-off’.
“Namun, agak malang pada hari ini terdapat sebahagian pekerja yang telah melangkaui 10 tahun tempoh perkhidmatan tiba-tiba tidak disambung sedangkan masih mampu lagi berkhidmat selama lima tahun bagi mendapat lantikan tetap,” katanya.
Adnan berkata, semasa kerajaan terdahulu, terdapat juga kakitangan kontrak yang telah berkhidmat selama lebih 10 tahun yang turut dicadangkan diberi lantikan tetap secara “one-off” namun tidak dilaksanakan.
“Amat tidak adil kerana kita telah menggunakan perkhidmatan mereka dan apabila tiba pada satu tarikh untuk mencapai hampir 15 tahun atau 10 tahun dan tidak dilantik…maknanya, ruang dan peluang mereka itu telah ditiadakan,” katanya.
Adnan berkata, pihaknya juga akan mengemukakan usul untuk memansuhkan potongan elaun Sara Hidup (Cola) bagi penjawat awam yang mendiami kuarters kerajaan.
Menurutnya, pada masa kini, penjawat awam yang menduduki kuarters dipotong dua jenis elaun iaitu Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Cola.
“Jadi, bagi kami cukuplah kerajaan membuat potongan ITP sahaja dan ini dapat memberi kelegaan kerana terdapat lebihan wang bagi menampung perbelanjaan,” katanya.
Pembayaran kuarters dibuat oleh setiap kementerian dan jabatan melalui pemotongan elaun iaitu sebanyak 75% bagi ITP dan 50% bagi Cola berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2015 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).
Sementara itu, Adnan turut berharap kerajaan akan mempertimbangkan kaedah guna sama kuarters melangkaui kementerian bagi memenuhi permintaan terhadap tempat kediaman tersebut terutamanya di bandar besar.
“Di Putrajaya sahaja, senarai menunggu untuk mendapatkan kuarters adalah lebih 23,000 dan begitu juga di bandar-bandar besar yang lain seperti Kuala Lumpur. Justeru, wajar kuarters yang dibuat mengikut kementerian ini dibuka kepada kakitangan awam lain sebab ada sesetengah unit masih ada kekosongan,” katanya.