2 beradik lemas ketika bercuti di Kota Tinggi

2 beradik lemas ketika bercuti di Kota Tinggi

Siti Nursalina dan kakaknya, Siti Rabiah Johari gagal diselamatkan selepas lemas di Pantai Tanjung Buloh.

Anggota bomba menghulurkan bantuan kepada dua beradik yang ditemui lemas di Pantai Tanjung Buloh, Kota Tinggi. (Gambar Bomba Johor)
PETALING JAYA:
Kegembiraan sebuah keluarga bercuti di Pantai Tanjung Buloh, Kota Tinggi berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemui lemas.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang, mangsa yang lemas adalah dua beradik dikenali sebagai Siti Nursalina, 10, dan Siti Rabiah Johari, 13.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.38 petang.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Penawar dengan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan pacuan empat kereta Hilux dikerah ke lokasi kejadian.

“Dua wanita nyaris lemas diselamatkan orang awam. Dua lagi mangsa ditemukan lemas sebelum dibawa ke pantai.

“Bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa yang lemas berasal dari Ulu Tiram dikatakan ke pantai itu untuk berkelah bersama keluarga.

Menurutnya, mangsa yang terselamat termasuk ibu kedua-dua mangsa, Mersidita Yunos, 46, dan Saleha Haron, 27.

“Mayat diserahkan kepada polis bagi proses bedah siasat di Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.