
Bekas pegawai tersebut, Wan Agyl Wan Hassan, dan perunding pengangkutan Rosli Azad Khan berpendapat cadangan untuk mempunyai pihak berkuasa berasingan bagi dua negeri itu dibimbangi akan melanggar undang-undang antarabangsa.
Bercakap kepada FMT, Wan Agyl yang sebelum ini bertugas di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat bersetuju wakil dari Sabah dan Sarawak ditempatkan dalam CAAM untuk menangani urusan penerbangan di dua negeri itu.
Menurutnya, permasalahan seperti tambang penerbangan yang tinggi dan tambah baik infrastruktur lapangan terbang di rantau ini antara isu mampu diuruskan.
“Salah satu penyelesaiannya adalah menubuhkan cawangan khusus atau biro dalam CAAM khas untuk menangani keperluan dan kebimbangan pengembara Malaysia Timur,” katanya.
Rosli pula berkata pihak berkuasa penerbangan mesti mewakili negara secara keseluruhan kerana ia perlu menandatangani protokol antarabangsa untuk mentadbir undang-undang dan peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), iaitu agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selasa lepas, Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan mencadangkan penubuhan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Borneo (BCAA) bagi mengawal selia serta menjaga industri penerbangan Sabah dan Sarawak.
Rosli berkata, tiada peruntukan dalam undang-undang penerbangan antarabangsa bagi sesebuah negeri untuk menubuhkan pihak berkuasa penerbangan awamnya sendiri.
Beliau sebaliknya mencadangkan pejabat wilayah CAAM diwujudkan di Kota Kinabalu dan Kuching.
Wan Agyl berkata, cawangan atau biro CAAM yang berasingan untuk Malaysia Timur akan membantu mengatasi masalah seperti tambang penerbangan mahal dan menambah baik infrastruktur lapangan terbang di sana.