Axia selamat, tak dipanggil semula, kata Perodua

Axia selamat, tak dipanggil semula, kata Perodua

Pensijilan UN-R95 diberikan kepada model Perodua Axia tetap sah walaupun wujud laporan ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu.

Perodua akan terus memantau isu keselamatan Axia dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai. (Gambar kereta Axia baharu)
PETALING JAYA:
Model Perodua Axia baharu selamat dipandu dan tidak akan dipanggil semula, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya melantik Daihatsu Co.Ltd untuk menjalankan ujian keselamatan bagi model itu di Jepun yang dinilai pihak berkuasa serta agensi relevan.

Menurutnya, susulan laporan berita mengenai “ketidakaturan prosedur” oleh Daihatsu, pihaknya berhubung pihak terbabit untuk mengenal pasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya.

“Kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Zainal memberi jaminan segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional.

“Kami akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai,” katanya.

Semalam, media melaporkan Daihatsu mengaku akan “ketidakaturan prosedur” dalam ujian keselamatan pelanggaran yang dibuat untuk pematuhan piawaian melibatkan empat model.

Ia merangkumi Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dikenali sebagai Yaris Ativ di beberapa pasaran seperti Thailand), Toyota Agya, dan sebuah model yang belum dilancarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.