Roger Ng cuba tangguh pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun

Roger Ng cuba tangguh pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun

Bekas pegawai bank Goldman Sachs berkata Ng perlu meluangkan sedikit masa bersama isteri dan anak perempuannya, yang tidak pernah dilihatnya selama empat tahun.

Pada 9 Mac, Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan diarah menyerah diri kepada pegawai penjara persekutuan pada 4 Mei. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng menggesa hakim Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun disabitkan ke atasnya kerana membantu merompak berbilion dolar daripada 1MDB.

Ng berkata dia memerlukan tiga bulan untuk membolehkan isteri dan anak perempuannya tiba di New York dari Malaysia, lapor Bloomberg.

Pada 9 Mac, hakim Daerah AS Margo Brodie menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan mengarahkan Ng menyerah diri kepada pegawai penjara persekutuan pada 4 Mei.

Semalam, peguam Ng, Marc Agnifilo, meminta mahkamah membenarkan anak guamnya menangguhkan hukumannya sehingga Ogos.

Agnifilo berkata Ng tidak pernah melihat anak perempuannya, yang kini berusia 10 tahun, selama lebih empat tahun sejak ditangkap di Malaysia pada 2018.

Tambahnya, Ng, yang bersetuju untuk diekstradisi ke AS untuk menghadapi perbicaraan di New York pada awal 2019, juga berdepan pendakwaan di Malaysia sebaik dibebaskan.

“Disebabkan tempoh dia telah menghabiskan masa berjauhan dengan anak kecilnya, dan tempoh hukumannya, kami dengan hormatnya memohon agar dia dapat menghabiskan dua bulan bersama keluarganya sebelum dia menyerah diri,” Agnifilo dipetik sebagai berkata.

Peguam itu berhujah bahawa anak guamnya bebas dalam tahanan rumah dan memakai gelang buku lali elektronik untuk memantau pergerakannya sejak seorang majistret persekutuan di Brooklyn bersetuju membebaskannya dengan ikat jamin USD20 juta (RM89.21 juta) pada Mei 2019, dan tidak pernah melanggar syarat pembebasannya.

Agnifilo berkata, pendakwa raya membantah penangguhan hukuman itu.

April lalu, juri di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas bosnya, Tim Leissner, menggelapkan wang daripada 1MDB, mencuci hasil dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Tuduhan itu berpunca daripada bon berjumlah USD6.5 bilion yang Goldman bantu 1MDB jual pada 2012 dan 2013. 1MDB ialah dana kekayaan negara yang diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia.

Pendakwa raya AS berkata USD4.5 bilion daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, jurubank dan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.