Pendapatan Sarawak dijangka meningkat tahun ini

Pendapatan Sarawak dijangka meningkat tahun ini

Pendapatan Sarawak tahun lalu adalah tertinggi pernah dicatatkan dengan pendapatan tahun sebelumnya meningkat daripada RM10 bilion kepada RM11 bilion.

Premier Sarawak Abang Johari Openg pada Pesta Kaul Mukah 2023. (Gambar fail)
MUKAH:
Sarawak dijangka terus merekodkan peningkatan pendapatan tahun ini berikutan kejayaan mencatatkan pertambahan pendapatan dalam tempoh empat tahun termasuk RM12 bilion pada 2022.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata pendapatan direkodkan Sarawak tahun lalu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negeri dengan pendapatan tahun sebelumnya meningkat daripada RM10 bilion kepada RM11 bilion.

“Pada 2022 pendapatan Sarawak tidak pernah dalam sejarah ialah RM12 bilion, sebelum itu dah naik daripada RM10 bilion kepada RM11 bilion dan kita doakan pada tahun ini (2023) akan mencatatkan peningkatan juga,” katanya semasa merasmikan Pesta Kaul Mukah 2023, sebuah pesta tahunan kaum Melanau.

Abang Johari berkata, berdasarkan pencapaian itu dan pendekatan baharu yang dibuat kerajaan Sarawak pada masa kini, beliau yakin pendapatan Sarawak akan terus merekodkan peningkatan pada 2023.

Beliau berkata dengan adanya peningkatan pendapatan berkenaan, banyak pembangunan boleh dilaksanakan di seluruh Sarawak termasuk di Mukah.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan melaksanakan 60 projek pembangunan di kawasan Mukah iaitu antara kawasan terletak bawah tadbir urus Agensi Pembangunan Delta Rajang (Radda) yang menelan kos RM1 bilion bagi memesatkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Radda ialah sebuah agensi khas ditubuhkan kerajaan Sarawak yang memberi fokus kepada pembangunan di kawasan Delta Rajang termasuk Mukah.

Beliau turut mengumumkan projek pembinaan tebingan sungai Mukah yang baharu dianggarkan menelan kos RM60 juta dan kini sedang dalam peringkat reka bentuk kejuruteraan.

Menyentuh mengenai Pesta Kaul Mukah, beliau berkata pesta itu tidak asing lagi bagi beliau kerana sudah begitu lama bersama-sama menjayakan pesta itu semasa menjawat portfolio Menteri Pelancongan Negeri suatu ketika dahulu sehingga dibina tapak tetap pesta sepertimana yang ada pada hari ini.

Beliau berkata, berikutan tarikan begitu baik terhadap Pesta Kaul Mukah, kerajaan Persekutuan telah membina lapangan baharu serta kemudahan infrastruktur lain untuk membawa ramai pelawat ke kawasan pesisiran pantai di bahagian tengah Sarawak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.