Jemaah Menteri belum bincang lanjutan kontrak Azam Baki

Jemaah Menteri belum bincang lanjutan kontrak Azam Baki

Kontrak ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu tamat pada 12 Mei.

Azam Baki dilantik ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 susulan perletakan jawatan Latheefa Koya. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Putrajaya belum membincangkan lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

“Perkara ini masih belum dibincangkan dalam Kabinet,” katanya ketika ditanya pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Raya di Hotel Raia.

Kontrak perkhidmatan Azam tamat pada 12 Mei. Beliau dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 susulan perletakan jawatan penyandang ketika itu, Latheefa Koya.

Sejak mengambilalih jawatan berkenaan, Azam dibelenggu kontroversi selepas pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa agensi melawan rasuah itu diperguna kerajaan sebelum ini untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang.

Dakwaan itu semakin meningkat ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah dengan beberapa Ahli Parlimen PH menjadi sasaran supaya menyokong pentadbiran PN, yang mana perdana menteri ketika itu adalah Muhyiddin Yassin.

Tahun lalu, Azam berdepan kritikan selepas didakwa memiliki pegangan saham termasuk waran.

Beliau menafikan sebarang salah laku, namun kumpulan pemerhati dan pemimpin PH menggesa siasatan dibuka berhubung perkara itu.

Azam dilaporkan disoal tiga jawatankuasa berasingan SPRM berkenaan isu tersebut.

Bagaimanapun, menteri berkait undang-undang ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata isu berkenaan selesai selepas Suruhanjaya Sekuriti mendapati tiada kes.

Pada sidang Dewan Rakyat bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan tidak menggantikan Azam, sambil menyatakan beliau tidak mahu menimbulkan persepsi ketua pesuruhjaya perlu diganti sekiranya perdana menteri bertukar.

Anwar berkata, mengikut peraturan dan perundangan semasa, SPRM merupakan badan bebas yang tidak tertakluk kepada arahan perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.