Henti naikkan papan iklan untuk saya, kata Anwar

Henti naikkan papan iklan untuk saya, kata Anwar

Perdana menteri berkata dana kerajaan dibelanjakan untuk papan iklan itu boleh digunakan untuk tujuan lain.

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak perlu membelanjakan wang untuk menyediakan papan iklan berkenaan. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Anwar Ibrahim menggesa agensi kerajaan berhenti memasang papan iklan berkait dirinya dan “kerajaan Madani” di seluruh negara.

Perdana menteri berkata, pemasangan papan iklan berkenaan yang dipasang di seluruh negara tidak mendapat persetujuannya dan kelulusannya.

Katanya, kerajaan tidak perlu membelanjakan wang untuk menyediakan papan iklan berkenaan dan beliau dimaklumkan peruntukan untuk papan iklan itu adalah peruntukan lama dan dilaksanakan menggunakan dana sedia ada “yang telah dipindahkan” berikutan perubahan dalam kerajaan.

“Saya faham tapi saya fikir peruntukan itu (peruntukan) boleh digunakan untuk benda yang lain. Jadi saya arahkan (penghasilan) billboard baru dihentikan, kekal yang ada sahaja.

“Dan saya tidak mahu ianya diteruskan kerana ianya tidak menunjukkan satu pendirian kerajaan Madani,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Raya di Hotel Raia di sini.

Anwar ketika mengulas lanjut, berkata beliau menghormati pegawai yang terlibat dalam pemasangan papan iklan seumpama itu kerana meneruskan dasar sedia ada.

“(Tetapi) dalam keadaan saya tidak dimaklum, saya tidak boleh bagi keputusan. Sekarang bila saya telah dimaklum, keputusan saya adalah saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk buat ‘billboard-billboard’ besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.