Bayi dihurung kerengga ditemukan di Kuantan

Bayi dihurung kerengga ditemukan di Kuantan

Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata bayi itu ditemukan penduduk di Kampung Peramu Tanjung Lumpur sekitar 12.30 tengah hari tadi.

Polis mengesyaki bayi itu dilahirkan di lokasi lain sebelum dibuang bagi menyembunyikan kelahiran. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang bayi lelaki dianggarkan baru tiga jam dilahirkan ditemukan tidak berpakaian dengan dihurung kerengga, berhampiran sebuah rumah di Kampung Peramu Tanjung Lumpur, di Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata bayi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan doktor menganggarkan bayi tersebut dilahirkan kurang tiga jam sebelum ia ditemui oleh orang awam.

“Siasatan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kilang Ocean Fresh Seafood Peramu Kuantan, tetapi CCTV tidak menghala ke tempat bayi lelaki yang dijumpai.

“Siasatan lanjut mendapati berkemungkinan suspek telah melahirkan bayi di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi tersebut di tempat kejadian pada awal pagi,” katanya menurut Kosmo.

Menurut laporan itu, saksi kejadian Norhazilawati Nasron, 31, berkata, penemuan bayi itu disedari selepas dia dimaklumkan jirannya, sekitar 12.30 tengah hari tadi.

“Apabila keluar rumah saya nampak orang ramai dan dia (jiran) sudah angkat, selamatkan dan selimutkan bayi dengan kain batik. Kami tidak sedar bila bayi ini ditinggalkan, tetapi kesan darah sudah kering pada tangan, tali pusat juga sudah digunting.

“Saya lihat kerengga hinggap kepala bayi itu dan ada kesan gigitan pada badan. Tiada sebarang dokumen ditemui pada bayi berkenaan dan penduduk menghubungi polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.