Badminton Asia: Yew Sin-Ee Yi singkir beregu nombor satu dunia, mara separuh akhir

Badminton Asia: Yew Sin-Ee Yi singkir beregu nombor satu dunia, mara separuh akhir

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menang 22-20, 21-15 ke atas beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di Dubai.

Beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mempamerkan aksi cemerlang untuk menang ke atas beregu Indonesia pada Kejohanan Badminton Asia di Dubai. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 selepas menyingkirkan gandingan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam ini.

Gandingan kelapan dunia itu hanya mengambil masa 37 minit untuk mengalahkan beregu Indonesia itu dengan keputusan 22-20 dan 21-15 pada aksi suku akhir di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Keputusan yang dilakar Yew Sin-Ee Yi sekali gus melebarkan rekod empat kemenangan ke atas gandingan Indonesia itu, yang mencatatkan tujuh kemenangan daripada 11 pertemuan.

Menanti Yew Sin-Ee Yi di separuh akhir adalah pemenang antara beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang turut beraksi malam ini.

Beregu campuran yang berada di ranking kelapan dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai juga mengiringi kemaraan wakil negara itu selepas turut menjinakkan gandingan ke-14 dunia dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari menerusi pertembungan tiga set.

Soon Huat-Shevon, dapat mengawal perlawanan dengan baik dan mencatat kemenangan set pertama dengan keputusan 21-17 sebelum kebangkitan pihak lawan di set kedua 15-21.

Rekod pertemuan sebanyak empat kali dengan tiga kemenangan memihak kepada wakil negara itu kemudian dilebarkan lagi apabila mereka berjaya menoktahkan kemenangan di set penentuan 21-19 dalam pertarungan selama 55 minit.

Soon Huat-Shevon akan berdepan beregu nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, yang tidak pernah dikalahkan mereka sepanjang 10 pertemuan sebelum ini.

Si Wei-Ya Qiong mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavinati, 21-11, 21-17.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.