PSI: Dengar luahan nelayan, kata wakil rakyat PKR selepas JAS lulus EIA

PSI: Dengar luahan nelayan, kata wakil rakyat PKR selepas JAS lulus EIA

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berpendirian kerajaan harus menjaga dan membantu komuniti yang terkesan sekiranya ia ingin meneruskan sebarang projek pembangunan.

Kelulusan EIA oleh JAS Putrajaya bagi PSI dimaklumkan kepada setiausaha kerajaan negeri pada 11 April lalu. (Gambar SRS Consortium)
PETALING JAYA:
Nelayan pemegang taruh utama dalam projek penambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) dan luahan mereka perlu didengari, kata seorang wakil rakyat PKR selepas kerajaan negeri mengumumkan Jabatan Alam Sekitar meluluskan laporan penilaian impak alam sekitar bagi projek tersebut.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut kerana beliau sendiri masih tidak tahu mengenai 71 syarat yang dikenakan JAS bagi meluluskan EIA projek itu.

Dilaporkan kelulusan EIA oleh JAS Putrajaya itu dimaklumkan kepada setiausaha kerajaan negeri pada 11 April lalu, dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyeru pihak yang ingin mengetahui 71 syarat itu supaya merujuk Penang Infrastructure Corporation (PIC).

“Tak nak komen secara terperinci sedangkan kita masih tak tahu mengenai kandungan 71 syarat itu … saya yakin Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan kenakan syarat yang ketat mengenai kelulusan projek itu,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Sahabat Alam Malaysia menggesa JAS mendedahkan kepada umum alasan meluluskan EIA bagi PSI termasuk 71 syarat yang dikenakan, sambil berkata ia kecewa dengan kerajaan baharu yang dilihat tidak mengendahkan bantahan komuniti nelayan.

Chow mempertahankan kelulusan itu dengan berkata kerajaan negeri patut dibenarkan untuk membuktikan ia boleh mematuhi syarat-syarat JAS.

Bakhtiar berpendirian kerajaan harus menjaga dan membantu komuniti yang terkesan sekiranya ia ingin meneruskan sebarang projek pembangunan.

“Kita perlu dengar luahan nelayan kerana mereka pemegang taruh utama. Sebelum ini, saya juga sokong bantahan mereka kerana itu merupakan pendapatan utama mereka.”

Projek itu sebelum ini mendapat tentangan hebat daripada nelayan, pencinta alam sekitar, dan kumpulan pesara kerajaan G25 atas kebimbangan ia akan menjejaskan ekosistem marin.

Projek penambakan PSI bernilai RM10 bilion adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melalui penambakan tiga pulau seluas 1,620ha di luar Permatang Damar Laut.

Adun Batu Maung, Halim Hussein, enggan mengulas manakala Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, belum dapat dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.