
Khamis lepas, Alvin Tan berkata, enam anak guamnya itu, yang meminta dibicarakan atas tuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu, terpaksa meringkuk di dalam penjara selama empat hari kerana kaunter ikat jamin ditutup lebih awal daripada kebiasaan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam mengeluarkan rakaman CCTV yang menurutnya jelas menunjukkan kaunter ikat jamin masih beroperasi sehingga 4 petang pada 20 April, waktu biasa sepanjang Ramadan.
Bagaimanapun, Tan menggesa agar rakaman CCTV di kaunter ikat jamin itu sendiri didedahkan kepada umum.
“Ada CCTV di kaunter ikat jamin, tetapi saya tidak pasti kenapa (rakamannya) tidak didedahkan,” kata Tan dalam kenyataan.
“Rakaman CCTV (yang dikeluarkan oleh pendaftar mahkamah) hanya menunjukkan orang ramai berjalan di sekitar kompleks mahkamah dan menggunakan mesin deposit tunai.
“Saya minta rakaman CCTV di kaunter didedahkan kerana ia akan menunjukkan dengan jelas apa yang berlaku pada hari itu.”
Tan menegaskan bahawa penjamin bagi enam lelaki itu dilihat dalam rakaman CCTV yang dikeluarkan semalam.
“Oleh itu, alasan awal bahawa penjamin mereka tidak hadir sehingga 4 petang tidak tepat,” katanya.
Ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkata, keenam-enam lelaki itu tidak dibenarkan diikat jamin kerana penjamin mereka tidak hadir, bukan kerana kaunter ditutup awal.
Penjamin dikehendaki hadir supaya mahkamah boleh mengesahkan identiti mereka dan menerangkan secara lisan terma tempoh jaminan dan tanggungjawab mereka.
Tan menegaskan bahawa kakitangan mahkamah menutup kaunter pendaftaran ikat jamin pada 2.53 petang walaupun terdapat notis yang menyatakan bahawa waktu pejabat sehingga 4.30 petang.
Keenam-enam lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin pada Isnin, iaitu hari cuti umum, selepas permohonan ikat jamin mereka berjaya diproses.