Johor beri diskaun 80% bayaran premium tanah, kata Zahid

Johor beri diskaun 80% bayaran premium tanah, kata Zahid

Pemberian diskaun bernilai RM1.6 juta melibatkan perpindahan penduduk Kampung Sri Tanjung dan Kampung Nelayan Benut ke Kampung Parit Makuaseng.

Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Umno Pontian di Kompleks Muafakat Benut Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian. (Gambar Bernama)
PONTIAN:
Kerajaan Johor bersetuju memberi diskaun sebanyak 80% bagi pembayaran premium tanah, bernilai RM1.6 juta, melibatkan perpindahan penduduk Kampung Sri Tanjung dan Kampung Nelayan Benut ke Kampung Parit Makuaseng, Benut di sini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah (KKDW), ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Umno Pontian di Benut.

“Saya sempat ‘berbisik’ dari jauh dengan menteri besar (Onn Hafiz Ghazi) tentang premium tanah tadi untuk diskaun 80% yang nilainya RM1.6 juta. Atas baik hatinya MB, kerajaan negeri akan beri diskaun 80%,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Umno Johor, Ahmad Maslan dalam ucapannya menyampaikan permintaan untuk mengurangkan pembayaran premium tanah yang turut dimohon oleh Adun Benut Hasni Mohammad.

“Premiumnya RM2 juta, tetapi orang kampung nelayan tidak ada duit untuk bayar… maka (Datuk Seri) Hasni ada sebut jika boleh, kurangkan 80%, jadi 20% sahaja orang kampung bayar iaitu RM400,000.

“Projek itu di bawah KKDW, jadi apalah kiranya menteri berikan satu lagi peruntukan, jadi boleh segera pindahkan rakyat ke situ,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu turut memohon peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan masjid baharu di Parit Haji Ariff yang segera diluluskan oleh Zahid.

Timbalan perdana menteri turut meninjau Projek Pemajuan Kawasan Kampung Parit Makuaseng dan mendengar taklimat daripada Ketua Penolong Setiausaha KKDW Tengku Muhammad Fariza Engku Muhammad Din.

Sebanyak 170 unit rumah dibina bagi projek penempatan semula mangsa banjir, air pasang dan setinggan nelayan di Sungai Benut dan Sungai Pinggan serta golongan miskin tegar sekitar Benut.

Projek pembangunan di tanah kerajaan negeri milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor berkeluasan 30 ekar itu telah bermula pada 16 Mei 2017 dan siap Ogos 2022.

Projek itu, bernilai kira-kira RM41.5 juta, melibatkan pembangunan rumah berkembar dengan infrastruktur asas termasuk jalan, bekalan air, bekalan elektrik dan sistem rawatan kumbahan selain kemudahan seperti dewan, surau, tadika serta gerai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.