Bekas Ahli Parlimen Umno ditawar jadi calon PN di N Sembilan

Bekas Ahli Parlimen Umno ditawar jadi calon PN di N Sembilan

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan Rafiei Mustapha memberitahu bekas Ahli Parlimen Jempol itu belum menyatakan pendirian.

Khairy Jamaluddin dan terbaharu Salim Sharif ditawarkan kerusi oleh Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri, akan datang.
PETALING JAYA:
Selepas Khairy Jamaluddin, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mengesahkan turut menawarkan kerusi kepada bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif untuk bertanding atas tiket gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Kita juga mempelawa Salim bertanding atas tiket PN, namun setakat ini kedua-dua tokoh berkenaan belum menyatakan pendirian masing-masing,” kata Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Salim antara pemimpin Umno yang digantung selama enam tahun. Dia juga tidak dicalonkan semula mempertahankan kerusi Parlimen Jempol pada PRU15 lalu.

Rafiei turut mengakui PN sebelum ini ada menawarkan kepada Khairy sebagai ‘poster boy’ untuk bertanding atas tiket PN di negeri itu.

“Kita mengharapkan ada keputusan positif daripada mereka berdua,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, media melaporkan, Khairy disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran Bersatu menyertai parti itu.

Semalam, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim juga memberi bayangan akan membabitkan diri dalam perencanaan PN dengan bertanding di satu kerusi DUN di Selangor pada PRN kali ini.

Mengenai pembahagian 36 kerusi DUN dalam kalangan parti komponen gabungan itu, Rafiei yang juga pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata, perkara itu sudah sudah dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Rafiei berkata, gerak kerja gabungan itu diperhebatkan dalam usaha memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN untuk memerintah negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.