
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan mengesahkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun meninggal dunia disebabkan strok haba setelah mengalami dehidrasi teruk di Kelantan pada Selasa.
Bagaimanapun, Radzi berkata kematian seorang bayi berusia 19 bulan juga di Kelantan pada hari sama akibat “severe dyhdration with underlying sepsis” dan bukannya disebabkan strok haba.
Katanya, tiga lagi kes penyakit berkaitan demam panas itu dilaporkan di Sarawak, dua membabitkan kekejangan haba dan satu membabitkan kelesuan haba.
Beliau memberi amaran bahawa pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas tanpa minum air mencukupi boleh memudaratkan kesihatan seseorang, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka menghidap penyakit kronik.
“Simptom penyakit berkaitan dengan cuaca terlalu panas termasuk sakit kepala, keletihan, pening, lemah otot atau kekejangan dan rasa mual.
“Kes yang terlalu teruk boleh melibatkan dehidrasi, kekeliruan, tidak sedarkan diri atau koma,” katanya dalam kenyataan.
Memandangkan sambutan Aidilfitri masih berlangsung, Radzi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan lawatan ke rumah antara 11 pagi hingga 4 petang kerana ketika itu waktu puncak cuaca panas.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari dan mengelakkan minuman manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.
“Kerap mandi untuk menyejukkan badan dan elak memakai pakaian ketat dan tebal serta berwarna gelap. Guna pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelak pendedahan secara langsung kepada cuaca panas.
“Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.” katanya.