Tak perlu polemik konsep Rahmah, yang penting ‘isi’, tegur Puad

Tak perlu polemik konsep Rahmah, yang penting ‘isi’, tegur Puad

Ahli MKT Umno itu berkata tidak ada masalah untuk menukar 'jenama' program seperti dilakukan pemerintah ketika bertukar kerajaan.

Puad Zarkashi berkata konsep Rahmah tidak perlu terus dipolemikkan kerana apa yang penting ialah pengisiannya sampai kepada rakyat. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menegur pelbagai pihak yang terus mempolemikkan konsep Rahmah, sambil menyifatkan nama sesuatu program itu tidak penting sebaliknya pengisiannya sampai kepada rakyat memerlukan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berkata menukar “jenama” program, yang lazimnya dilakukan pemerintah ketika bertukar kerajaan tidak menjadi masalah, tetapi bukan menangguhkan atau membatalkannya seperti dilakukan Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa projek mega yang dirancang di bawah pentadbiran Najib Razak, antaranya MRT 3, Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) ditangguhkan atau dibatalkan ketika Pakatan Harapan (PH) diketuai Mahathir ke Putrajaya pada PRU 2018.

“Sebenarnya tidak perlu dipolemikkan siapa pencetusnya. Yang penting isinya dan mesti sustainable (tahan lama). Jangan hangat-hangat tahi ayam.

“Lagi pun ada apa pada nama. Klinik 1Malaysia pun Rahmah. BRIM pun rahmah.

“Tukar jenama tak apa. Seperti daripada BRIM kepada BASAH. Asalkan rahmah. Tetapi jangan tangguh atau batal. Itu hobi Tun M,” kata Puad di Facebook.

Pada Isnin, Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim mendakwa konsep rahmah yang diperkenalkan kerajaan perpaduan merupakan idea Mahathir.

Menurut beliau, konsep dan perkataan “Rahmah” telah dan sedang digambarkan sebagai idea Anwar di bawah konsep Madani sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

Mahdzir berkata, konsep Rahmah diperkenalkan Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020.

Bagaimanapun, seorang pendakwah bebas Wan Ji Wan Husin tampil mendakwa konsep itu diketengahkan oleh naib presiden Amanah Mujahid Yusof, sehingga menjadi dasar rasmi negara ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.