
Rais yang menafikan sekeras-kerasnya melakukan perbuatan itu sebagai habuan membantu saudara kepada seorang wanita bagi mendapatkan projek kerajaan turut memikirkan perkara sesuai termasuk tindakan undang-undang kepada dalang mencipta dan menyebarkan video berkenaan.
“Saya orang dituduh, contohnya, saya mencuri dan sepatutnya tuan rumah yang membuat laporan polis, bukannya saya,” katanya.
“Saya sedang meneliti (untuk saman) kerana dengan fitnah ini juga mengganggu tugas saya sebagai pemimpin, namun saya tidak mahu ambil berat isu ini kerana fokus saya dengan kerja yang dipertanggungjawabkan,” katanya menurut Berita Harian.
Ini adalah kenyataan pertama daripada Rais yang juga Adun Paya Rumput selepas penyebaran beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp dan video berunsur seksual dikatakan membabitkan dirinya.
Mengulas lanjut, Rais berkata, penyebaran berita itu sengaja direka cipta pihak tertentu dan hanya bermotif politik bagi menjatuhkan imej dan reputasi.
Dakwanya, ada pihak masih tidak senang dengan imej serta prestasi kerja dibawanya, khususnya selepas menang sebagai Ketua Umno Tangga Batu pada pemilihan parti, Mac lalu.
“Ini semua fitnah direka cipta untuk menjatuhkan reputasi saya dan selaku pemimpin kerdil, saya anggap ini adalah asam garam politik. Dalam masa sama, saya anggap ini satu ciptaan dan rekaan menggunakan perbualan WhatsApp.
“Saya sendiri seram apabila membaca perbualan itu (menerusi tangkap layar). Saya tidak pernah memberi rasuah secara seks atau apa-apa bentuk rasuah kepada mana-mana individu. Mana-mana mengenali diri saya atau pun kawan rapat, saya yakin mereka tahu siapa diri saya,” katanya.
Katanya, isu dan video sama pernah disebarkan pihak tertentu ketika sehari sebelum Mesyuarat Perwakilan Umno Tangga Batu, 18 Mac lalu.
Bagaimanapun, beliau yang juga exco perumahan mengambil sikap bertenang dan menganggap dakwaan itu sebagai fitnah jahat hanya dilakukan oleh segelintir musuh politiknya.
“Saya tak nak ambil `pusing’ mengenai perkara ini kerana tumpuan saya kini untuk membantu ketua menteri (Ab Rauf Yusoh), untuk membangunkan Melaka.
“Saya tidak mahu isu politik jijik ini menjejaskan prestasi kerja saya untuk rakyat,” katanya.