Rakyat Malaysia dipindah dari Sudan dijangka tiba esok

Rakyat Malaysia dipindah dari Sudan dijangka tiba esok

Menteri luar berkata, kompleks Petronas di Sudan diambil alih secara paksa oleh pasukan separa tentera Sudan.

Zambry Abdul Kadir berkata, 30 rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Sudan dijangka tiba di Malaysia petang esok. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seramai 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, Sudan dilanda konflik, selamat tiba di Arab Saudi dan akan pulang ke tanah air esok, kata Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir.

“Rakyat Malaysia itu bersama 22 warga asing tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal (di Jeddah) pada 1.54 pagi tadi (waktu Malaysia).

“Rakyat Malaysia itu dijangka tiba di tanah air pada 3.55 petang esok,” katanya dalam sidang media di Wisma Putra.

“Kompleks Petronas itu tidak jauh dari pangkalan tentera di Sudan. Ketika gencatan senjata selama tiga jam, ia sangat berisiko untuk memindahkan semua orang dari kompleks itu dengan selamat.”

“Disebabkan bangunan itu kini dijadikan tempat pemerhatian, kami berharap ia akan kekal utuh selepas konflik tamat.”

Zambry berkata, semua urusan Kedutaan Malaysia di Sudan akan dilakukan dari Kaherah sehingga selamat untuk kakitangan kedutaan itu kembali ke Khartoum.

Seramai 22 warga asing dalam kapal itu terdiri daripada dua warga AS, Kemboja (6) dan Singapura (14).

“Kementerian Hal Ehwal Luar di Singapura menghubungi saya dan berterima kasih kepada kami kerana membantu memindahkan rakyat mereka. Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka berdasarkan kemampuan kita.”

Keganasan meletus di Khartoum dan di seluruh Sudan sejak 15 April lalu antara pasukan tentera setia kepada ketuanya, Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya yang menjadi seterunya, Mohamed Hamdan Daglo, yang menerajui pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Pertempuran itu meragut lebih 460 nyawa, mencederakan ribuan orang dan menyebabkan pergolakan lebih meluas di negara timur laut Afrika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.