Penyiasat Double Six maut dalam nahas lain 2 bulan kemudian

Penyiasat Double Six maut dalam nahas lain 2 bulan kemudian

Juruterbang ujian GAF Stuart Pearce dan pemangku ketua pereka David Hooper terbunuh dalam penerbangan ujian di Victoria, Australia, tepat dua bulan selepas nahas pesawat Sabah.

Pesawat Nomad yang terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu pada 6 Jun 1976 telah meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain. (gambar Arkib Biro Siasatan Kemalangan Udara)
PETALING JAYA:
Dua penyiasat dari pengeluar pesawat Australia yang terlibat dalam tragedi Double Six pada 1976, meninggal dunia dalam nahas lain yang berlaku dua bulan kemudian.

Syarikat milik Australia Government Aircraft Factories (GAF) mengeluarkan pesawat Nomad yang terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu, pada 6 Jun 1976, yang meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

GAF menghantar pemangku ketua pereka bentuknya, David Hooper, dan ketua juruterbang ujian Stuart Pearce ke Sabah untuk membantu siasatan Malaysia ke atas nahas itu, dan mereka berdua menandatangani laporan GAF yang didedahkan oleh kerajaan Australia semalam.

Kedua-duanya meninggal dunia semasa penerbangan ujian GAF N24 Nomad di Victoria, Australia, pada 6 Ogos 1976, tepat dua bulan selepas tragedi Double Six.

Identiti mereka hanya diketahui umum apabila laporan GAF didedahkan semalam, berikutan nyahklasifikasian laporan sama oleh kerajaan Malaysia awal bulan ini.

Pearce melakukan penerbangan ujian manakala Hooper turut berada dalam pesawat sebagai pemerhati.

Pearce terbunuh dalam nahas itu, manakala Hooper, yang berada di tempat duduk juruterbang lain, mengalami kecederaan yang mengakibatkan kematiannya dua hari kemudian.

Turut berada dalam pesawat itu ialah jurutera ujian, Philip Larcey yang cedera parah.

Dalam laporan insiden yang dilihat oleh FMT, Cawangan Penyiasatan Keselamatan Udara Australia berkata bedah siasat ke atas Pearce dan Hooper menunjukkan bahawa kedua-duanya meninggal dunia akibat kecederaan akibat impak pesawat ke atas tanah.

“Tiada bukti ketidakupayaan juruterbang atau kesihatannya terjejas dalam apa-apa cara sebelum, atau semasa, penerbangan,” kata laporan itu.

Laporan itu juga mengatakan nahas itu disebabkan oleh “kriteria reka bentuk yang dipermudahkan yang digunakan untuk mewajarkan pergerakan struktur sayap ketika ujian pelbagai pengubahsuaian ekor pesawat, yang tidak sah untuk reka bentuk termasuk pada bahagian kepaknya”.

Ia menyatakan bahawa penerbangan ujian itu bertujuan untuk menentukan cara pesawat itu akan beroperasi selepas pengubahsuaian dibuat padanya dan ia adalah penerbangan pertama dengan pengubahsuaian itu.

Laporan itu berkata Pearce “berkelayakan dan berlesen”, dan pesawat itu diselenggara dan diperakui sewajarnya, serta muatannya dalam had selamat. Keadaan cuaca juga bukan faktor kemalangan.

Dalam laporan mereka mengenai nahas Double Six yang dikendalikan oleh Sabah Air, Pearce dan Hooper berkata syarikat penerbangan itu beroperasi secara haram kerana Jabatan Penerbangan Awam (CAD) ketika itu tidak meluluskan draf manual operasinya.

Seperti laporan Malaysia mengenai nahas itu, laporan mereka juga menolak kebakaran atau sabotaj sebagai punca kejadian, menunjukkan bahawa siasatan awal mendapati lebihan muatan di bahagian belakang pesawat menjadi punca.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.